Saturday, August 6, 2011

MAHATHIR MELENTING RAJA NONGCHIK BANGKIT HAL FREEMASON

Kalau hal Freemason jangan sentuh satgi kawan angen satu badan.. ## Flashback ## Pejuang Yang Tempang Kalau kita lihat sejarah pe... thumbnail 1 summary

Kalau hal Freemason jangan sentuh satgi kawan angen satu badan..
## Flashback ##

Pejuang Yang Tempang
Kalau kita lihat sejarah pemimpin UMNO yang berjaya sebelum Mahathir, kita dapat lihat betapa mereka mempunyai sejarah perjuangan yang dibanggakan. Kalau mereka tidak meniti tangga-tangga kepimpinan itu secara peribadi, mereka sudahpun didedahkan kepada aktiviti kepimpinan melalui asal-usul keluarga yang terkenal kerana kepimpinannya. Mahathir adalah seorang yang terkecuali dalam hal ini. Memang beliau merupakan "the odd man out". Dia telah naik dengan segala muslihat politik yang masih samar sekarang ini. Tetapi, kesamaran yang berjaya dibendungnya melalui peras ugut itu mula menyerlahkan taring kejijikannya secara berdikit-dikit disebabkan rasa keinsafan mereka yang memeram dan menyimpan rahsia kejijikan itu.

Memang, sudah ramai penganalis politik dan veteran politik yang menganggap Mahathir sebagai seorang pejuang politik yang tempang. "Orang tidak mudah nampak Mahathir tempang kerana dia berjalan dengan kasut tumit tinggi yang dibuat khas di sebelah dalam kasutnya. Kalau dia seorang panglima perang dia tidak akan berani berpencak silat tanpa kasutnya itu." Demikianlah kiasan yang kesat yang pernah diberikan orang terhadap Mahathir.

Sejarah akan menentukan betapa Mahathir naik ke kemuncak persada politik UMNO melalui tipu helah dan persepakatan yang telah dianyam begitu rapi oleh sekumpulan manusia yang tidak kurang rakus daripada beliau. Malahan, Mahathir berubah daripada seorang ahli politik yang dicap 'ultra' kepada seorang 'diktator' kerana kesanggupan beberapa kumpulan manusia yang mengampunya.

Ingatan awal kepada pemimpin UMNO - Ketika Mahathir baru naik sebagai seorang pemimpin yang popular, pernah seorang pemimpin lama yang bernama Raja Nongchik bangun berucap dan cuba memberi ingatan kepada persidangan UMNO akan bahaya pengaruh Freemason.

Raja Nongchik tentunya mempunyai sebab tertentu kenapa mengambil kesempatan berucap dengan tajuk itu. Sebagai seorang pemimpin berpengalaman yang fasih dalam Bahasa Cina tentunya beliau sudah dapat mengesan sesuatu, terutama sekali daripada para pemimpin Cina yang rapat dengannya.

Malahan, sebagai seorang kawan rapat kepada Dato' Harun Idris, adalah tidak mungkin Raja Nongchik bersuara 'sumbang' ketika itu secara sembarangan. Ada mesej yang tersirat dalam ucapannya itu. Malangnya, ucapan ikhlas Raja Nongchik itu telah disanggah dan diserang oleh Mahathir dengan lantang.

Cubalah buka rekod persidangan UMNO dan ulang-cetak akan ucapan Raja Nongchik dan juga jawapan Mahathir akan perkara 'Freemason' itu.

Dari situ kita akan dapat membuat renungan betapa rahsia sejarah bangsa Melayu kini banyak tersimpan dalam ucapan Mahathir ketika itu. Raja Nongchik telah diaibkan begitu rendah sekali seolah-olah beliau adalah sampah masyarakat Melayu.

Sedangkan Raja Nongchik telah banyak berjasa kepada orang Melayu sebelum itu, lebih besar dan lebih bermakna daripada Mahathir ketika itu. Raja Nongchik telah dbogelkan seolah-olah dia tidak datang ke persidangan itu lengkap dengan pakaiannya.

Semua kata-kata kesat yang digunakan oleh Mahathir terhadap Raja Nongchik ketika itu menggambarkan betapa hebatnya Mahathir mempertahankan pergerakan Freemason. Kenapakah Mahathir lantang menyanggah Raja Nongchik seolah-olah beliau seorang pemimpin tinggi Freemason di rantau ini ?

Benarkah Mahathir memang menganggotai Freemason sejak lama lagi dan bertanggungjawab memilih beberapa Melayu yang lain untuk menganggotai pertubuhan itu?

Saya pernah berbual dengan Dato Harun selepas beliau diampunkan dan bertanya Dato Harun akan soalan ini.

Beliau termenung jauh tanpa mahu tersenyum. Sungguh serius beliau ketika itu dan bertoleh kepada saya. "Let it be a mystery to you. I will not answer that question."

Saya pasti Dato Harun amat faham akan jawapannya.

Kini, amaran dan ingatan yang cuba diketengahkan oleh Raja Nongchik sudah berbunga dan menyerlahkan baunya yang bacin. Lihat sahajalah bagaimana sistem kehakiman dapat diperkosa dengan mudah oleh seorang pemimpin yang rakus.

Perhatikan pula bagaimana maruah bangsa Melayu itu dinodai dengan mudahnya. Pada waktu yang sama cuba catatkan juga siapakah yang mempelopori persatuan yang membebaskan gologan 'gay' dan 'lesbian' di negara ini?

Siapakah yang menyokong resolusi dunia agar kondom percuma diedarkan kepada anak-anak sekolah menengah? Demikianlah aibnya maruah bangsa Melayu itu disebabkan kegelojohan seorang pemimpin politik yang amat banggakan gelaran sebagai pemimpin Melayu terulung.

Sedangkan segala tindak-tanduknya sehingga kini tidak menyerlahkan keazamannya untuk mementingkan maruah bangsa Melayu itu sendiri. Jika tidak manakan beliau sanggup membogelkan maruah seorang pemimpin Melayu yang disayangi oleh rakyat jelata sehingga sanggup menggunakan segala penipuan di mahkamah negara ?

Ajaran yang Menyesatkan
Buku-buku ajaran Freemason yang lebih dikenal sebagai "The Free Lodge", memang boleh didapati di luar negara. Tebal sekali buku yang dijadikan rujukan itu. Hampir dua ribu muka surat dan ditulis pada abad ke-18 lagi.

Saya telah mengambil masa enam bulan membaca buku itu setiap hari dan membawa perbandingan dengan Al-Quran ketika berada di luar negara. Anak-anak Melayu yang berada di Amerika mungkin dapat membeli buku ini di Salvation Army Store ataupun di beberapa kedai buku-lama berdekatan Fifth Avenue New York ataupun berdekatan Cairncross Station di London.

Bacalah buku ini secara berkumpulan dan buatlah rujukan dengan ajaran dalam Al-Quran dan saudara sekelian akan dapat mengetahui perjalanan negara ini. Yang penting sekali saudara akan dapat perhatikan betapa liciknya perencanaan untuk menguasai minda seseorang seperti yang telah berlaku kepada pemimpin-pemimpin UMNO, masakini.

Kita boleh melihatkan betapa proses memajukan Malaysia ini banyak mengikuti pengaruh ajaran Freemason. Walaupun pada asasnya, Freemason mengakui agama anutan setiap ahli Lodgenya itu, seolah-olah dia tidak mementingkan sama ada seseorang itu beragama Islam, Hindu, Kristian, Budhist dan sebagainya. Tetapi, ajaran-ajaran yang tersirat dalam buku-buku rujukan pertubuhan itu mementingkan semangat setiakawan yang bergerak di bawah pertubuhan itu.

Kalau seseorang itu sudah membuat ikrar dan sumpah setia kepada ajaran pertubuhan itu, apakah serba mungkin orang itu akan memberikan tekanan kepada ajaran Islam yang dianutinya ketika lahir?

Apakah tidak mungkin seseorang yang amat dihormati dan disanjungi dalam sesuatu pertubuhan sulit itu tidak dipengaruhi oleh sekumpulan penasihatnya di dalam pertubuhan yang kecil itu ? Apakah kemungkinannya bagi beliau dipengaruhi oleh pemimpin lain yang tidakpun sedarkan pembabitannya dalam pakatan sulit itu?

Keengganan Mahathir menghadirkan diri di mahkamah walaupun telah dispina berkali-kali menunjukkan keangkuhannya. Ia lebih condong kepada ketakutannya dibogelkan oleh para peguam yang akan menyoalnya akan fahaman hidupnya yang sebenar.

Untuk sekian lama banyak cerita Mahathir di sebalik tabir yang tidak tertulis tetapi amat difahami oleh ramai orang lain di Singapura dan juga di negara ini. Semua perkara ini tidak tersingkap kerana semangat nasionalisma yang ada pada ramai orang terpelajar di negara ini. - "Yang Kusut dan Kesat" (Oleh Marhaintua)

PETIKAN UCAPAN PRESIDEN UMNO DALAM  PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-33DI KUALA LUMPUR, 10 SEPTEMBER 1982

Petikan Ucapan Presiden membidas Raja Nongchik:

42. Baru-baru ini kita sekali lagi mendengar satu tuduhan yang biasa dilempar oleh seorang yang kononnya ahli UMNO.  Tuduhannya ialah UMNO sudah diresapi oleh Pertubuhan Freemason. Tidak cukup itu, tuduhan juga dibuat bahawa Jabatan Perdana Menteri dimasuki oleh Freemason, bahawa Setiausaha Politik Perdana Menteri adalah orang Freemason dan saya sendiri adalah penyokong Freemason. Kerajaan kononnya sekarang Kerajaan dikuasai oleh  Freemason.

43. Sama ada gerakan Freemason ini buruk atau tidak adalah satu perkara lain.  Tetapi menuduh Jabatan Perdana Menteri, Perdana Menteri, Setiausaha Politiknya, UMNO, dan Kerajaan dikuasai oleh badan ini adalah satu perbuatan yang biadab.  Dakwaan orang ini bahawa ia adalah ahli UMNO amat mengecewakan.

44.  Kita telah perhatikan tindak-tanduk orang ini sekian lama, dan jika ada musang berbulu ayam atau musuh dalam selimut, inilah dia. Dalam Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1978, orang ini cuba membawa usul tergempar kononnya Kerajaan telah membenar "lumba anjing" di negara ini.  Mesyuarat hendak ditangguhkan kerana mahu membahas perkara ini terlebih dahulu.  Risalah-risalah disebar bukan sahaja kepada para perwakilan tetapi juga kepada orang ramai.

45.  Kita semua tahu apa yang berlaku.  Apabila orang ini diberi peluang  bercakap, dia tidak bercakap dan tidak pun membangkitkan perkara "lumba anjing" ini.  Sebabnya jelas tuduhan ini tidak berasas.  Tujuannya membawa usul ini ialah supaya majlis menjadi gamat, supaya Kerajaan dikecam oleh ahli UMNO, supaya UMNO rosak, dan tujuan yang terbesar sekali ialah untuk membuka peluang kepada musuh-musuh UMNO menghentam UMNO dan Kerajaan.

46.  Kegiatan orang ini di mana-mana sahaja mencerminkan keperibadiannya. Ia biasa menceroboh masuk ke bangunan PKNS dan membuka kedai tanpa izin.  Sewa kedai tidak dibayar dan akhirnya barang-barang yang tidak berguna yang ada di kedai itu terpaksa dilelong untuk mendapat balik sewa.

47.  Ada kedai lain yang disewa dengan mudah kerana dianya bumiputera, dan selepas dapat sahaja kedai itu disewa olehnya kepada bukan bumiputera.  Sewa dikutip dari penyewa bukan bumiputera tetapi sewanya sendiri kepada PKNS tidak dibayar sehingga PKNS terpaksa mengambil tindakan undang-undang.

48.  Sebagai ketua sebuah persatuan perniagaan Melayu, orang ini membuat syarikat dengan nama yang seakan-akan nama persatuan yang ia dipilih untuk mengetuai.  Syarikat ini memohon sekeping tanah dari Kerajaan.  Kerana disangka yang memohon ialah persatuan dan bukan dirinya sendiri, pihak berkuasa meluluskan permohonan ini.  Dalam masa yang singkat nama pemilik tanah ini ditukar kepada nama syarikat kepunyaannya sendiri dan diserah kepada bukan bumiputera untuk taman hiburan yang tidak mempunyai unsur Melayu sama sekali.  Apabila taman hiburan ini tidak maju, tanah ini dijual terus kepada syarikat bukan bumiputera.

49.  Ada lagi perbuatan-perbuatan menggunakan nama bumiputera atau Melayu untuk mendapat itu dan ini semata-mata untuk mengkhianati hak orang Melayu.  Tetapi, bila berucap suaranya lantang - mengecam orang lain tidak Islam, tidak bumiputera, tidak mengutama bahasa, Zionis dan sebagainya.

Senarai ahli-ahli Freemason disimpan sebagai alat ugutan. Tiap kali seseorang mendapat apa-apa sesuatu maka dikeluarkanlah senarai ini.  Senarai ini tidak tetap.  Adakala nama orang-orang tertentu dimasukkan, dan entah dengan tujuan apa nama-nama ini digugurkan dari senarai yang dikeluar kemudian. Apabila sahaja berpeluang menuduh maka tuduhan dibuat dengan tidak mengambilkira keadaan yang sebenar.

50.  Freemason bukanlah satu badan yang kita alu-alukan dan orang Islam tidak sepatutnya menjadi ahli pertubuhan ini.  Tetapi janganlah seseorang terpesong dari kenyataan kerana ingin mencari alasan untuk melindung kelemahan kita. Janganlah kita habiskan tenaga dan masa berjuang dengan bayang sedangkan yang mengancam kita berada di hadapan kita dengan terang dan nyatanya.  Zaman kita hidup di alam khayalan sudah berlalu. Hari ini kita perlu menghadapi kenyataan dan mengatur langkah berasas kepada kenyataan.

Orang yang percaya kepada khayalan mereka sendiri, dan mengambil tindakan berasas kepada khayalan mereka akan diketawakan oleh musuh mereka yang tahu keadaan yang sebenar.  Hari ini sasarannya ialah Freemason, tetapi sudahpun ada tanda-tanda iaitu selepas Freemason, Kelab Rotary, Kelab Apex, Kelab Lions dan lain-lain lagi kelab khidmat dan badan-badan kebajikan akan menjadi sasaran dan pengharaman mereka dituntut.  Mereka akan mengugut, akan mendakwa bahawa semua badan ini adalah gerakan Zionis dan berperanglah kita bermati-matian sementara musuh kita masuk.

51.  Dalam Islam pembunuh sekalipun boleh diampun.  Inikan pula perbuatan kebudak-budakan di masa muda.  Apakah kita akan singkir mereka yang dahulu terlibat dengan Freemason sehingga tidak mungkin mereka balik ke pangkuan masyarakat?  Apakah kita menolak orang yang sudah bertaubat?  Apakah agama Islam, tidak akui orang yang bertaubat?

52.  Setiausaha Kerja UMNO telah dipilih kerana ia berkali-kali bekerja dengan sukarela mengendalikan jentera pilihanraya di peringkat pusat.  Kita tidak pernah kalah di waktu beliau bertugas dalam bilik gerakan.  Sebaliknya kemenangan kita  meningkat dari tahun 1974, 78  hingga ke 82.  Jika. benar ia  agen Freemason yang bertuiuan. menghancurkan.  UMNO, maka ia adalah ejen yang tidak pemah berjaya.  Tetapi saya dan rakan-rakan saya tahu tentang kerjanya dan kami puas hati dengan kesetiaannya.  Sebaliknya ada orang yang menuduhnya biasa melesapkan peruntukan pilihanraya di waktu yang sama.

53.  Apakah jenis masyarakat kita jika orang yang nyata setia dituduh dan orang yang nyata oportunis yang tak bermaruah didewa-dewakan?  Sekali lagi saya ingin katakan, dari segi kesan kepada perpaduan dalam UMNO, orang yang menuduh adalah lebih Freemason, bukan orang yang dituduh.  Jika ada orang yang patut disingkir, orang yang menuduhlah yang patut disingkir.  Dialah musang berbulu ayam, dialah duri dalam daging, dialah musuh dalam selimut, dialah Freemason pada hakikat.  Awasilah orang yang melempar fitnah.  Tuhan telah berfirman yang bermaksud orang yang memfitnah adalah lebih bahaya dari pembunuh - dan Tuhan adalah lebih mengetahui.

54.  UMNO, dan orang Melayu dan Islam mempunyai tanggungjawab yang besar. Tanggungjawab ini memerlukan kita menumpukan perhatian kepada masalah-masalah yang nyata.  Masalah-masalah ini kita tahu akan memusnahkan kita jika kita alpa.  Lihatlah apa yang sedang terjadi dalam dunia Islam.  Walaupun nampaknya ada kesedaran yang baru terhadap ajaran agama, tetapi kesedaran ini lebih tertumpu kepada soal-soal yang memecah-belahkan umat Islam dan mencetuskan peperangan di kalangan mereka.  Tidak ada perhatian yang serius yang diberi kepada penyerapan ilmu, kepada memperkuatkan persaudaraan dan kepada menentang musuh.  Akibatnya ialah orang Islam tidak hidup bahagia seperti yang dijanjikan kepada umat Muhammad s.a.w. Sebabnya bukan kerana Islam menghalang, tetapi kerana orang Islam mudah dipesong dari ajaran Islam, mudah dipengaruhi oleh nafsu.

55.  Oleh itu UMNO perlu menarik balik perhatian orang Melayu yang juga orang Islam kepada hakikat masalah yang sebenar dan mengikut kehendak agama dalam mengatasi masalah ini.  Singkirkanlah khayalan.  Elaklah diri dari menghabis masa dan tenaga melawan musuh ciptaan.  Hadapilah musuh yang ada di hadapan kita, musuh yang sebenar, iaitu nafsu dan hasad dengki kita yang tetap menjadikan kita sasaran sesiapa sahaja yang pintar dan berani.

"Berfikir tanpa kotak"

Ar Ra'isul Mutakallim, Tabligh Ki Zabaan (Lidah Tabligh) Hadrat Maulana Umar Palanpuri Rahmatullahu 'alaihi berkata: "Orang yang kuat adalah orang yang sanggup bertahan dalam arus kerosakan. Orang yang lebih kuat adalah orang yang sanggup melawan arus kerosakan. Namun orang yang paling kuat adalah orang yang sanggup merubah arah arus kerosakan hingga menjadi akannya arus kebaikan.”

“Dajjal bersama tenteranya mempunyai kekuatan yang amat istimewa dan amat tersusun. Begitu juga Yakjuj dan Makjuj membuat huru-hara di seluruh dunia. Kehebatan mereka tiada siapa yang dapat melawan dan orang beriman berundur dengan hanya makan zikir dan tasbih."

"Allah zahirkan kudratnya hanya dengan labah-labah yang kecil dijadikan asbab untuk menggigit tengkuk-tengkuk mereka hingga mati. Mayat mereka begitu busuk diseluruh dunia. Orang beriman tidak tahan terus berdoa pada Allah. Allah ta'ala hantarkan hujan dan banjir menghanyutkan mereka ke laut. Inilah yang akan berlaku di akhir zaman nanti."

"Amalan dakwah memisahkan hak dan batil seperti air menghanyutkan sampah dari emas dan logam-logam yang lain. Namun pekerja² agama jika wujud cinta dunia dalam hati mereka seperti emas dan disaluti logam-logam lain, maka banyak masalah yang akan timbul.”